Flipbook.

Thursday, September 16, 2010

PENGISYTIHARAN PENUBUHAN MALAYSIA (16/09/1963)



HARI MALAYSIA

Pada 16 September 1963 seiring dengan dentuman 101 das tembakan meriam dan teriakan“MERDEKA”, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kelahiran sebuah negara baru kepada seluruh dunia iaitu Malaysia. Stadium Merdeka yang dibanjiri oleh 30,000 rakyat Malaysia telah bergema kembali dengan laungan semangat rakyat seperti 6 tahun yang Ialu dalam tahun 1957 ketika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya.

Upacara membaca Deklarasi Penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor-gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negara yang baharu di dalam Persekutuan Malaysia laitu Lee Kuan Yew, Donald Stephens dan Stephen Kalong Ningkan. Upacara ini telah dihadiri juga oleh Kabinet, anggota-anggota diplomat asing di Kuala Lumpur serta wakil-wakil dari Kerajaan-Kerajaan yang telah dijemput khas.

Pada 19 Oktober 2009 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 16 Sept sebagai cuti umum mulai tahun ini bagi menyambut Hari Malaysia.Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia. Kerajaan bersetuju menjadikan tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September sebagai perayaan Hari Malaysia yang akan disambut di seluruh negara.

Pengisytiharan tarikh 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk sambutan gilang-gemilang sempena Hari Malaysia dilaksanakan.

Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai bersama sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada seluruh negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...