Flipbook.

Friday, September 10, 2010

Adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri


Adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri antaranya :

Pertama : Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Takbir itu ialah merupakan ibadah.

Kedua : Menurut Syeikh Qulyubi di dalam Kitab Hasyiah telah menyebutkan bahawa menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama Sembahyang Sunat Tasbih hukumnya adalah sunat.

Ketiga : Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.

Keempat : Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

Kelima : Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Dari Anas ia berkata : Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan berkata Murajja' bin Raja' telah diceritakan kepada Ubaidullah ia berkata : Telah menceritakan Anas dari Nabi s.a.w. : Dan Baginda memakan tamar itu dalam bilangan ganjil". (HR Bukhari)

Keenam : Menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain, sebagaimana hadis yang maksudnya : "Dari Al-Baraa' ia berkata : Aku mendengar Nabi s.a.w. berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang".

Ketujuh : Sunat doa-mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya : Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...